ahlan wa sahlan

Peranan Muslimah dalam Merealisasikan Cintanya kepada Rasulullah

 http://nahdahmuslim.blogspot.com/2010/04/peranan-muslimah-dalam-merealisasikan.html
Peranan Muslimah dalam Merealisasikan Cintanya kepada Rasulullah
1.Peranan sebagai ibu Solehah
Sesungguhnya seorang ibu Muslimah wajib mengetahui bahawa anak-anak adalah amanah dari Allah Subhanahu wa Taala. Jika amanah ini tidak diperlakukan atau dididik dengan akhlak yang mulia, maka akan huru-haralah dunia ini. Ini kerana anak dilahirkan seperti kain putih, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam: "Tiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah Islami). Ayah dan ibunyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (penyembah api dan berhala)" [HR al-Bukhari]

Betapa indahnya dunia ini, jika ibu Muslimah mengerti hakikat dirinya, sebagai seorang hamba Allah yang solehah yang dari tangannya dan belaian kasih sayangnya mampu melahirkan generasi-generasi rabbani yang mereka tidak takut akan celaan orang yang mencela. Dan dari kasih sayangnya lahirlah manusia-manusia gagah yang bersedia memikul amanah dakwah walau orang-orang bodoh selalu mencelanya, tetapi dengan segala ketawadukannya, dia hadapi dan terima celaan itu dengan senyuman sambil mengucapkan nada dan kalimat keselamatan bagi mereka.

Wanita Muslimah bukanlah orang yang cinta pada dunia dan bukan pula orang yang uzlah dari dunia. Sebaliknya mereka adalah orang yang mampu mengimbangi antara hak dan kewajiban, antara tanggungjawab dan perasaan peribadi. Mereka adalah orang yang lebih mementingkan akhirat, kerana mereka tahu dan yakin bahawa dunia hanya sekadar jalan untuk mencapai predikat yang tinggi iaitu Mardhotillah "

Seorang ibu Muslimah akan berusaha mendidik dan menanamkan perasaan cinta anaknya hanya kepada Allah dan RasulNya ditahap tertinggi. Jika rasa cinta kepada Allah dan Rasul mengatasi segalanya, maka dengan sendiri anak itu mengetahui tentang tanggung jawabnya kepada ibu bapa, keluarga, masyarakat dan seterusnya Negara. Hasil didikan seorang ibu itu juga akan melahirkan generasi penerus perjuangan yang sentiasa taat kepada Allah dan menjadikan Rasulullah sebagai "role model" atau idola dalam kehidupan hariannya.

2. Peranan Muslimah sebagai isteri solehah
Sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam: "(sebaik-baik wanita adalah) yang membahagiakan suaminya jika dia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika dia memerintahkannya, dan tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya." [HR an-Nasa'i]

Seorang isteri, jika mahukan rumahtangga yang bahagia, mestilah mengikut ajaran RasulNya. Dengan berpandukan Al-Quran dan Hadis Rasulullah, barulah segala tugas sebagai seorang isteri dapat dijalankan dengan baik. Tugas utama seorang isteri adalah menjadi pengurus kepada rumah suaminya dan di tangannyalah terletak kebahagiaan dan kestabilan rumahtangga. Seorang isteri menjadi penyejuk mata suami di kala seorang suami dilanda kerungsingan. Kelembutan yang dimilikinya dimanfaatkan untuk meredakan amarah suaminya. Kemarahan yang boleh membawa malapetaka bagi rumah tangga jika si isteri tidak mampu mengendalikan emosi, dengan kasih sayang yang didasari perasaan cinta, si isteri mampu menenangkan suaminya, ketika suaminya mengalami konflik batin. Semua itu telah ditunjukkan oleh Khadijah Radiallahu anha yang merupakan salah seorang daripada empat tokoh wanita terbaik yang pernah hadir dalam pentas sejarah dunia sekaligus isteri Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam.

Kisah keagungan wanita yang tersimpan rapi dalam khazanah Islam dan tidak akan pernah dilupakan oleh zaman dan waktu bermula ketika kepulangan Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam di kala pertama kali beliau menerima wahyu di Gua Hira'. Ketika suasana hati Rasulullah di landa kekalutan dan kekacauan beliau datang menemui Khadijah seraya berkata "Selimutilah aku! Selimutilah aku". Dengan penuh kasih sayang, Khadijah menyelimuti suaminya hingga hilang rasa takutnya. Kemudian Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam bertanya "Wahai Khadijah apa yang terjadi atas diriku? Diceritakannya sebuah khabar kepada Khadijah, baginda berkata: "Aku takut suatu hal akan menimpa diriku". Dengan kelembutannya Khadijah berkata: "Janganlah takut namun bergembiralah. Demi Allah, tidak mungkin Allah akan menghinakanmu. Demi Allah engkau adalah orang yang selalu menyambung tali persaudaraan, engkau selalu berkata benar, engkau selalu membantu mereka yang memerlukan dan memuliakan tamu serta engkaulah yang selalu menolong orang yang ditimpa musibah".

Khadijah seorang wanita yang dianugerahi kelebihan dan kebesaran. Sewaktu suaminya di timpa musibah, dia turut merasakan penderitaan suaminya. Dibesarkan hatinya dengan segala kebaikan yang dilakukannya agar mampu menenangkan hati sang suami. Kebesaran wanita inilah yang digambarkan Ibnu Hisyam dalam sirahnya:"Sesungguh nya Khadijah adalah orang yang pertama kali beriman kepada Allah dan Rasulullah, serta membenarkan semua yang datang daripada Allah. Dialah yang selalu membantu Rasulullah dalam menjalankan urusannya dan membenarkan risalahnya di saat orang lain mendustakannya. Maka Allah meringankan Rasulullah dengan adanya Khadijah. Rasulullah tak pernah menerima daripada Khadijah sesuatu yang dibencinya ketika orang lain menolak dakwahnya dan mendustakan dirinya, yang hal ini akan menambah diri Rasulullah sedih, kecuali Allah menghilangkan penderitaannya ketika beliau kembali kepada Khadijah. Dikuatkan hati Rasulullah, diringankan penderitaannya, dibenarkan seluruh ucapannya dan dibantunya Rasulullah dalam menjalankan urusannya dengan manusia".

Selain itu contoh isteri solehah juga terdapat dalam diri Ummu Salamah, ketika kematian anak yang di cintainya, sedangkan suaminya Abu Thalhah sedang berpergian. Dia berpesan kepada keluarganya: "Jangan engkau ceritakan kepada Abu Thalhah akan kematian anaknya sampai saya sendiri yang akan menceritakannya" . Ketika suaminya pulang, Ummu Salamah menyambut suaminya dengan mesra, diajaknya suaminya makan bersama dan dia mencantikkan dirinya dengan tutur bahasa yang indah dan manis. Ketika dilihat suaminya tenang dan kenyang, dengan lemah lembut Ummu Salamah bertanya: "Wahai Aba Thalhah apakah pendapatmu jika ada suatu kaum memberikan kepada ahlubaitmu barang untuk disimpan, kemudian mereka meminta kembali barangnya itu, adakah kamu melarangnya? Abu Thalhah menjawab: "Tentu tidak". Kemudian Ummu Salamah berkata: "Begitu pula yang terjadi dan menimpa anakmu".

Begitulah antara sikap seorang isteri solehah yang sentiasa tunduk dan patuh dengan ajaran RasulNya sehingga dapat memberi ketenteraman kepada si suami di kala si suami kelelahan dalam menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah dan Rasul dengan menyebar risalah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Senario masa kini pasti berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh Ummu Salamah yang mana sebahagian ibu-ibu Muslimah sukar menerima kenyataan dan menolak qada' Allah apabila anak-anak mereka dipanggil menemui Sang Pencipta `Azza wa Jalla sedangkan menerima qadha' dan qadar adalah salah satu dari Rukun Iman.

3. Peranan Muslimah sebagai anak solehah
Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah Subhanahu wa Taala kepada setiap Muslim. Sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Disamping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Dalam Al-Quran, Allah Subhanahu wa Taala dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa yang mana Allah menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala:"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia ( yang bersopan santun )" [TMQ Al-Israa' (17): 23]

Menghormati ibu, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu mestilah dipatuhi dan sama sekali tidak boleh dikhianati. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibunya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk ajar yang baik, aka dia (anak tersebut) dianggap telah mendurhaka. Dan bagi mereka yang durhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, mendurhaka kedua ibu bapa bererti telah mendurhaka kepada Allah Subhanahu wa Taala Sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam. Dari Abdullah bin Amru Radiallahu Anhu telah bersabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam: Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa" [HR at Tirmidzi]

Khatimah
Cara mencintai dan mengagungkan Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam adalah dengan meneladani baginda secara keseluruhan bukan dalam hanya perkara-perkara tertentu sahaja. Satu-satunya cara untuk mewujudkan tujuan agung itu adalah dengan melangsungkan kembali kehidupan Islam dan memahami untuk tujuan apa baginda diutuskan di muka bumi ini. Semua orang maklum bahawa Rasulullah diutuskan adalah sebagai pembawa risalah Allah kepada seluruh umat manusia. Kerana itu, misi utama Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam adalah menegakkan syariah Allah di tengah-tengah umat manusia. Itulah yang dilakukan Baginda sepanjang usianya sejak Baginda diangkat sebagai utusan Allah Subhanahu wa Taala. Tidak kurang 23 tahun lamanya Baginda berjuang menegakkan syariah Allah di tengah-tengah umat manusia saat itu, dengan mengorbankan harta bahkan jiwa Baginda. Selama itu, Baginda dihadapkan dengan halangan, cabaran bahkan gangguan yang luar biasa daripada orang-orang kafir musuh Allah. Mereka melakukan semua itu tidak lain untuk menghentikan dakwah Baginda.

Namun atas pertolongan Allah, Rasulullah berjaya mengatasi semua itu dan akhirnya baginda berhasil menegakkan syariah Allah dalam wadah Negara (daulah) di Bumi Madinah untuk pertama kalinya. Daulah Islam di Madinah kemudian berhasil menggabungkan wilayah sekitarnya di Jazirah Arab ke dalam pangkuannya. Setelah Rasulullah wafat, Daulah Islam itu kemudian diteruskan oleh para pengganti Rasul (khulafa' ar-Rasul), yang menggantikan baginda dalam bidang pemerintahan bukan dalam kerasulan. Khulafa'ur Rasyidin kemudian melanjutkan misi Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam iaitu menyebarluaskan risalah Islam ke seluruh Jazirah Arab, wilayah Syam, Mesir dan Parsi seterusnya ke seluruh penjuru dunia.

Dari paparan di atas, jelas bahawa menegakkan syariah Islam yang mana Muslimah tidak terlepas dari tanggungjawab merealisasikannya merupakan puncak mewujudkan kecintaan kepada Rasulullah. Menegakkan syariah Islam secara kaffah, iaitu mencakup seluruh aspek kehidupan seperti pendidikan, sosial politik, ekonomi, budaya, pertahanan dan keamanan dan lain-lain lagi. Semua itu tidak mungkin tegak kecuali dengan adanya Negara. Itulah yang telah dicontohkan oleh baginda Rasulullah yang kemudian dilestarikan oleh sahabat baginda. Itulah Khilafah.

Pendek kata, menegakkan kembali khilafah yang akan menegakkan kembali risalah yang dibawa oleh Rasul, dan menyebarluaskannya ke seluruh dunia, adalah puncak manifestasi kecintaan kita kepada Baginda Rasulullah Sallallahu `Alaihi wa Sallam. Maka, agak ganjil jika ada Muslimah yang mendakwa mencintai Nabi, tetapi tidak mahu menegakkan syariah dan memperjuangkan Negara yang pernah Rasulullah dirikan.
Wallahu a'lam bisshawab.

"TIADA KEREHATAN BAGI SEORANG PEJUANG MELAINKAN KEMATIAN"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...