ahlan wa sahlan

ANTARA AKU DAN DIA..... ADA SUATU RAHSIA

Assalamualaikum.... Sebenarnya ini adalah catatan lama... kuimplimenkan di laman ini, mengisi slot Kisah Aku dan Dia.... yang lalu. Sebenarnya aku tidak tahu siapa dia.. Manusia ataupun ????
Hanya Allah yang lebih mengetahui siapa dia..

Antara aku dan dia.... ada satu rahsia.
Jauh di sudut hati ini hanya aku sahaja yang tahu. Betapa dingin dan beku suatu perasaan yang mengharapkan kehadiran seorang insan yang sekelip mata menghilang dari hidupku.. Segalanya umpama mimpi, hadir seketika cuma namun mengikat utuh jaluran benang sari hati lalu mencantumkan dua hati yang entah kepunyaan siapa.

Ada waktunya kekesalan timbul namun mungkin ini hanya suatu ujian terhadap hamba yang sering alpa dengan janji dan kehidupan. Jauh di sudut hati ini juga telah terpadam nolstalgia semalam yang memilukan....cuma yang tinggal hanya harapan mendatang yang kabur...menantikan kehadiran seseorang yang begitu anggun bertakhta di hati dan nurani ini. Kesedaran mungkin menyerlah namun impian yang jarang hadir mungkin akan lebih mencengkam dan mengancam lilitan kasih yang telah dibentuk Illahi buat hambaNYA ini. Aku mungkin dia tidak pernah menduga keadaan sebegini akan berlaku. Kerelaan melepaskan rupanya menguji hati untuk suat lagi penantian yang tidak akan ada kesudahannya. Alam mungkin tertawa melihat manusia yang sering leka dalam menjalani hidup sebegini. tapi aku yakin antara aku dan dia.... masih ada suatu rahsia. Tentu ada hikmah di mana-mana apabila pertemuan sebegini berlaku dalam hidup manusia yang senantiasa lalai dan lemah ini.

Mereka yang lain mungkin dan seharusnya tidak mengetahui apa yang ada di dalam hati ini, dan dengan sengaja berjenaka. Aku ingin sahaja berkongsi cerita tapi dengan siapa? Biarpun kadang kala kufikirkan hanya aku dan dia yang mengetahuinya...suatu rahsia antara dua jiwa yang sama rasa dan sama-sama digerakkan dan akur dengan sandiwara ini. Lihatlah suatu ketika bila redhaNYA tiba, aku dan dia pasti bersua bukan hanya untuk bersemuka tetapi jauh dari itu untuk hidup bersama.....
Walaupun hakikatnya aku malu dengan diriku ini tetapi itulah kebenarannya... aku tidak bisa lari meninggalkan sesuatu yang ditentukan ujiannya kepadaku. Fahamlah hati dan jiwa ini sering memberontak. Ingin rasanya kugeledah segenap ceruk rantau ini untuk mententeramkan hatiku namun apakan daya, aku tidak mempunyai kuasa melakukandan aku sedar aku manusia lemah yang sepatutnya mengetahui kekurangan diri. Ya ALLAH, ya tuhanku.... aku redha dengan 'gerakkan hati ini' kerana aku yakin menemukan kami sebegitu rupa bukan untuk bersenda tetapi untuk menduga sejauh mana kekuatan hati kami dalam menghadapi segalanya. KAULAH YANG SATU....... aku akur dengan kasih sayangMU.... Bukalah hati kami menerima antara satu sama lain seadanya sepertimana telah KAU anugerahkan kepada kami dan semoga pertautan ini tidak akan terlerai walau apa sekalipun yang terjadi.... Seaib manapun aku dan dia, semoga kami akan tetap menerima antara satu sama lain... Ya ALLAH, antara aku dan dia.....sememangnya ada satu rahsia....


Sebuah catatan buat dia .... kucatat suatu ketika dahulu. Lebih 15 tahun dahulu... Kucatat dalam laman ini sekadar untuk kenangan. Bahawa kadang kala manusia ini sering dalam kerugian, kecuali mereka yang berpesan-pesan dan sabar dan kebenaran. Aku sendiri tidak tahu sama ada dia wujud dalam dunia ini atau hanya di dunia yang satu lagi. Semoga segalanya ini mengajarku menghargai hidup di dunia dan nikmat dari NYA yang satu. Catatan ini mungkin sudah tidak bermakna lagi, dan aku sesuaikan untuk slot kisah aku dan dia ini untuk tatapan umum.....

BUAT SESEORANG YANG KU KENALI SEBAGAI...........
Musha, Assalamualaikum buatmu...
Kependekan namamu yang kuberikan tanpa dikau ketahui apa yang tersirat dan apa sebenarnya yang berlaku..

DIA,
yang kukenalpasti hanya namanya sedangkan dirinya tidak begitu aku kenali. Bingkisan ini bukan bertujuan menganggu. Tidak terlintas di fikiran, sejauh ini ingatan pertemuan yang sebentar itu aku dan dia alami. Jika dia masih ingat, aku dan dia pernah bertemu suatu ketika dahulu. Mungkin dia tidak mengingati aku apatah lagi mengenali aku. Namun hingga ketika catatan ini aku sandarkan, ingatan antara aku dan dia masih segar dan memahat kenangan indah dalam hidupku. Tidak pernah aku merasakan sebegini hinggalah tiba ketika itu. Dan aku tahu semua itu hanya ujian buatku yang kadang kala angkuh dengan prinsip aku. Walau apapun , aku bersyukur dengan segala yang dikurniakan ini.

Dia,
Ketika itu aku bergelar Hajjah, satu-satunya sebab mengapa sebenarnya aku patut malu pada diriku sendiri tetapi aku tetap manusia biasa yang punyai perasaan seperti orang lain. Aku yakin cetusan rasa yang dilahirkan pada pertemuan kita di sisi Masjidil Haram pada Jun, 1993 bersamaan Zulhijjah 1414, membibitkan rasa keinsafan atas kebesaran Illahi dan mungkin bakal membawa kebaikan buat aku mahupun aku dan dia.

Dia,
Ujian itu membuatkan aku lebih redha dengan hidup aku kini; juga redha dengan hakikat pertemuan dan perpisahan. Aku berasa cekal kini untuk menghadapi pelbagai jaluran hidupku apatah lagi apabila berkait dengan hati dan perasaan. Kehadiran dia melenyapkan begitu banyak memori silam yang aku alami. Aku ingin dekat dan mengenali dia tetapi puas aku berusaha namun tiada apa yang aku perolehi. Mungkin aku dan dia bertemu hanya untuk berpisah

Musha, telah aku berusaha sedaya upaya untuk menjejaki mu namun kejayaan tidak berpihak kepada aku.
Lalu sehingga suatu ketika itu tiada sesiapa yang lain di sisi aku namun aku telah mencuba untuk membina hidup baru dan membuka ruang di hati aku, walaupun bukan itu yang aku ingini. Aku ingin dia tahu betapa ku berasa gembira dan bahagia atas segala perhatian yang dia berikan kepada aku ketika waktu itu.

Musha(DIA)..
Hotel Anwar Makkah menjadi saksi pertemuan aku dan dia. Setiapkali kehadiran Zulhijjah, aku sentiasa berdebar-debar dan aku tidak pasti mengapa aku berkeadaan begitu. Aku sering tertanya-tanya, mengapakah aku masih mengharapkan peristiwa itu berulang semula dan aku berharap dapat memperbaiki kesilapan ku namun peristiwa itu telah lama meninggalkan aku dan dia.
Arafah dan JabbalRahmah terus menjadi kenangan. Kadangkala terfikir olehku.... ingin bertemu dia semula di situ sebagaimana pertemuan Nabi Adam a.s dan Siti Hawa r.a., isteri tercinta. Namun siapa kita yang akan mendapat kurniaan seperti itu. Walau apa pun, jika ada rezeki dan jodoh aku dan dia...tiada siapa yang menghalang. Tentunya kuasa Allah mengatasi segalanya. Sekiranya apa yang aku harapkan itu terjadi, mungkin akulah insan yang berbahagia dalam hidup ini.

Dia,
Sebenarnya aku tidak tahu bagaimana caranya lagi untuk mengutusi dia dan aku berasa aib untuk meneruskan niat aku ini namun kugagahi juga hati aku ini untuk menyampaikan apa yang ku pendam sekian lama. Segalanya itu memori semalam yang akan aku simpan baik-baik di sudut hati ini. Apa yang penting, tujuan aku adalah mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih aku kepada dia kerana hadir dalam perjalanan hidup aku ini.

TERIMA KASIH.....Mungkin kaulah ujian yang meninggalkan kesan dan nolstalgia indah yang akan aku jadikan sempadan dalam meneruskan hidup aku yang akan datang. Bersyukur aku akan segala nikmatNYA..

Buat Dia (MUSHA)...
Semoga dia sentiasa sejahtera dan berbahagia dalam dakapan kasih sayang dan restu dari ALLAH subhanawataala. Sentiasa gembira dan ceria dalam menjalani kehidupan dia; juga dapat melaksanakan segala tanggungjawab dengan baik dan sempurna walau di mana sekali pun dia berada..dan aku ingin dia mengetahui.. aku sentiasa mengingati dia....

Sebenarnya ada terlalu banyak kisah yang aku boleh ceritakan tentang dia. Kata dia, seseorang yang mengubati aku suatu ketika dulu..... Dia (Musha), itu bukanlah seorang manusia biasa seperti aku dan kalian...malahan seorang yang dikatakan daripada golongan jin... namun sehingga kini, tiada siapa, tiada bukti yang dapat mengesahkannya. Kononnya, aku yang sederhana dalam dunia manusia ini ....begitu cantik di alam jin. Wallahualam.... Kemudian akan kukisahkan kelak, pengalaman demi pengalaman dalam slot aku dan dia. Aku sentiasa ingin tahu kebenarannya itu dan aku sentiasa mencari sesuatu... sesuatu, yang kadang-kadang aku tidak tahu apa yang aku cari.
Buat dia.... Siapa pun dia sebenarnya, aku telah melalui pengalaman 'Cinta pandang pertama' dengan dia. Aku tidak dapat menggambarkan dengan jelas. Selama lebih 5 tahun, aku menutup hati aku untuk orang lain. Semua perasaan terhadap dia yang pertama, dia dan beberapa dia lenyap semerta ketika pertama kali aku melihat dia. Ahh... memang sukar untuk aku menceritakannya dengan jelas. Suatu ketika kalian akan tahu....biarpun bukan cara dan keadaan yang sama yang aku lalui ini. Tentang aku dan dia yang satu ini, akan kuceritakan lagi untuk tatapan umum...kerana ada sesuatu yang ingin aku kongsikan bersama yang lain...walaupun bukan atas dasar kisah cinta yang terpapar seperti sebelum ini.
Cukup rasanya catatan ini dahulu.....semoga bertemu dengan 'warkah' yang lebih bermanafaat, insyaALLAH...

http://yunimaha5.blogspot.com/2009/04/antara-aku-dan-dia-ada-suatu-rahsia.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...