Izah
mengirai-ngirai rambutnya yang masih basah. Diselak-selak sendiri
dengan tangannya yang mulus. Kemudian, dilap kembali dengan tuala
pinknya. Membalut, seterusnya menyanggul rambut ikal mayang basah nya
itu.
Dia
menapak ke sisi katil. Telefon bimbitnya digagau di bawah bantal. Ia
berkelip. Ada dua mesej tertera. Kedua-duanya sudah tidak sabar untuk
dibuka. Izah duduk di tepi katil, lantas menekan butang 'open'. Ada
mesej dari Ikhwan, ada mesej dari Zikri. Sambil senyum tipis, membaca
sekilas mesej Ikhwan, Izah membiarkannya. Membuka pula mesej Zikri, juga
tersenyum tipis.
Izah
berkeputusan membalas kedua-dua mesej tersebut. Sebetulnya sebelum
mandi tadi, memang dia sedang bermesej dengan kedua-dua lelaki itu. Dia
meletakkan telefon bimbit itu ke atas meja belajarnya. Mengambil losyen
Nivea kemudian melumurkan ke bahu kanannya. Jam dari laptopnya
berdenting sekali menandakan sudah pukul 7 malam.
Sambil meratakan losyen ke seluruh lengan kanannya, Izah menekan butang 'reply'.
"X wat apa pun..baru siap mandi.."
Izah menekan butang send.
Pintu
bilik diketuk perlahan. Salam halus kedengaran pintu bilik dikuak.
Muncul Nasihah dengan senyumannya yang manis. Rambutnya juga dibalut
dengan tuala, persis Izah. Cuma yang berbeza, Nasihah nampak manis dan
sopan dengan baju kelawar bercorak batik labuhnya. Berlengan panjang
santak ke hujung lengan. Warna biru laut yang ceria, dihiasi warna-warna
pastel yang lain. Tompokan bunga pink, kuning, hijau epal dan lilac
tambah menyerikan gadis itu. Sedang Izah ada di birai katil, dengan
handphone di tangan, masih selesa berkemban dengan kain batik..
Nasihah
cermat-cermat meletakkan baldi berisi bekas mandi dan peralatan
mandinya bersebelahan baldi Izah di ruang kanan bilik itu. Kipas siling
di bilik 30x25 itu berpusing ligat. Nasihah lantas meleraikan balutan
rambutnya. Terurailah rambutnya yang ikal mayang berkilat santak ke
punggung itu. Dia mengambil sikat dan menyikatnya perlahan. Usai
merapikan rambut, dia terus menyarungkan jubahnya. Anak telekung
dipakai, dan telekung solat disuakan ke mukanya. Dia membuka lokernya,
menyorong laci seterusnya mengeluarkan sepasang sarung kaki coklat yang
baru. Menutup pintu loker seterusnya mengenakan sarung kaki tersebut.
Izah
terus-terusan menghadap handphonenya. Nasihah melihat wajahnya sekilas
di cermin. Jam berdenting sekali lagi dari laptop Izah menandakan
sudah pukul 7.15 malam.
"Ahh..aku
perlu cepat. Tak lama lagi azan akan berbunyi. Nanti tak sempat pula
nak beriktikaf dan solat sunat qabliyyah," bisik Nasihah.
Nasihah
senyum sekilas pada Izah. Izah hanya membalas dengan pandangan kosong.
Nasihah terus keluar dan menutup pintu cermat-cermat, dengan Al-Qur'an
hijau kesayangannya di tangan kanan. Tanda tanya timbul dalam hati
Izah.
"Aik..selalunya
dia ajak aku ke surau bersama.. Em, takpelah..bagus jugak. Takdelah
aku serba salah nak cari alasan.. Peliknye..nak pi surau je, dekat je
pun..nak pakai stokin jugak..hai.." Izah senyum sinis sambil terus
menyambung menaip pesanan ringkas.Zikri menunggu di hujung sana..
Tepat
pukul 9.30 malam, Nasihah pulang dengan menjinjit beg plastik. Masih
dengan senyumannya, dia hati-hati meleraikan telekung solatnya yang
sedikit biru nila itu. Usai disangkut di hanger, lantas menggantungnya
di hujung katil, Nasihah menyuakan bungkusan itu pada Izah yang leka
mengadap laptopnya. Ada bunyi deringan menandakan mesej masuk. Bunyi
mesej YM..
"Zah,
jom makan sama-sama. Ada biskut raya. Amalina yang bagi, dia ajak
singgah ke biliknya lepas solat Isya' tadi. Baik sangat dia, padahal
baru kenal tadi."
Izah berpaling sekilas sambil senyum.
"Emm,
takpelah. Kite dah makan petang tadi. Awak makanlah. Malam kite tak
makan sangat..takut badan naik..haha," jawab Izah berbasa-basi.
"Owh..ye ke..baguslah. Doktor, mesti jaga kesihatan kan.." Nasihah senyum ceria.
Nasihah
mengambil biskut Almond London, menyuakan ke mulut. Getaran Bismillah
kedengaran halus. Usai mengisi lebihan biskut ke dalam tabung biskut di
rak teratas, Nasihah mencapai buku teks Usul Akhamnya. Duduk mengadap
ke arah kiblat, Nasihah membuka buku tersebut dengan bacaan Bismillah.
"Eii..
tolongla jangan panggil aku Zah. Macam nama orang tua je.. Em, hairan
aku. Ramai betul kawan dia. Kejap Sumayyah, kejap Suhaila, kejap Aina,
kejap Amalina..mm..apa-apa jelah..." gumam di dalam hatinya.
Pukul
11.30 malam, Nasihah beberapa kali menguap. Izah masih tekun di
hadapan laptopnya. Facebook sedang dilayari. YM masih terus dilayani,
malah tambah rancak berbunyi.
Nasihah
bangun mengambil baldinya. Dia keluar ke tandas yang berada selang
beberapa bilik dari bilik kediamannya, D643. Usai memberus gigi,
membersih muka dan meratakan air wudhu', dia menapak ke biliknya.
Nasihah
membuka mushaf kesayangannya, menyelak tali oren, tempat tanda Surah
Al-Mulk. Usai membaca habis surah itu perlahan-lahan, dia menutup mushaf
itu, mengucup, mencium dan meletakkan ke dadanya. Erat.
"Zah,
sihah tidur dulu ea. Em, Zah jangan tidur lewat sangat tau... nanti
ada black circle.. nanti hilanglah keayuan Zah..hehe.."
Izah senyum pada Nasihah.
"..Baiklah.. kite pun dah ngantuk jugak ni.."
Nasihah
sudah lena dibuai mimpi. Dia tidur mengadap kiblat, dengan rusuk kanan
berada di bawah. Desahan nafas halus berirama perlahan.
Pukul 12.30 malam, Izah masih di hadapan laptopnya.
"Ahh..belum solat Isya' lagi..tapi ngantuk la pulak.. Em..tidur dululah. Bangun pukul 4, baru Solat Isyak.."
Izah
terus merebahkan badannya ke atas tilam empuk bercadar pink bunga
merah itu, sambil menetapkan alarm telefon bimbitnya pada pukul 4 pagi.
Tidak lama untuk dia mula belayar di lautan mimpi...
Pukul
3 pagi, Nasihah bangun. Menyucikan diri, menyucikan hati dan nawaitu.
Menyegarkan diri dengan air wudhu', Nasihah mengenakan telekung
solatnya. Sengaja dia menggantung telekung di hujung katilnya, agar
terbangun sahaja, dia dapat melihat telekung itu seraya mengingatkan
dirinya untuk solat malam.
Ahh..
solat malam. Nabi Muhammad S.A.W yang maksum, dicintai Allah dan pasti
masuk syurga itu saja solat hingga bengkak kakinya. Sedang aku ini..
Maksum? Jauh sekali. Dicintai Allah?? Tak pasti... Syurga?? Ahh.. aku
yang hina begini.. entah lah Ya Rabbi. Justeru itu.. izinkan aku bangun
di dini hari-Mu ini.. meratap sendu di kaki-Mu Ya Ilahi Rabbi..memeluk
bayangan-Mu Ya Habibi Qalbi.. bersimpuh tulus di hadapan-Mu Ya
Naasiri..Ya Waliyyi..Anta Maqsuudi..Waridhaaka Mathluubi..
Sekejap
sahaja air mata penuh di tubir mata Nasihah. Sendunya berlagu
perlahan.. bimbang didengari teman sebilik. Dalam doa dia bertawakkal.
Bulat, penuh. Usai berzikir perlahan, membaca Al-Qur'an barang tiga
muka, solat witir, Nasihah merebahkan badan kembali, dengan mata yang
masih basah.
Baru sahaja dia ingin melelapkan mata, handphone Izah berbunyi. Lagu Lady Gaga.
"Bunyi call? Atau alarm? Tapi biasanya kalau call... bunyinya macam lain.." Fasihah terkejut.
"Emm, pukul 4 pagi. Bangun bertahajjudkah?" Nasihah berteka-teki.
"Alhamdulillah.."
Sudah 3 kali handphonenya berulang dering. Namun Izah hanya bergerak-gerak tanpa memberi tindak balas apa-apa.
"Mungkin dia tidur lewat. Penat benar.." terka Nasihah.
Atas
dasar sahabat, dan mungkin niat yang baik di disisi Izah, Nasihah
menggerakkan Izah. Mungkin benar dia mahu bertahajjud, kasihan dia jika
terlepas. Atau ingin mengulangkaji.. tidak kisahlah. Yang pasti tentu
dia ada maksud tersendiri untuk bangun di dinihari itu. Jikalau tidak,
masakan dia set alarm handphonenya.
"Zah..
Em.. Izah... Izah. Izah nak bangun ke?" Nasihah menyentuh kaki Izah
lembut. Kemudian, Nasihah berhati-hati menggoncang bahu Izah.
"..Ha..Emm..Ya..Ya.." Izah menggosok-gosok matanya. Dia bangun dan duduk di birai katil. Mematikan alarmnya.
Nasihah
kembali merebahkan badannya di katil. Cadar warna ungu muda itu
dikemaskan sebelum dia merebahkan badannya. Dia tidak tahu bahawa Izah
sebenarnya terlena kembali.
Tepat jam 5.30 pagi, Izah terbangun kembali.
"Aduh!! Solat Isya'!"
Mengerling handphonenya sekilas, Izah buru-buru ke tandas untuk mengambil wudhu'. Fajar Subuh akan menyinsing sekejap lagi.
Usai solat, itupun cuma 2,3 minit, Izah melepaskan kelelahannya yang berbaki.
"Ah..nasib baik sempat. Tak pasal-pasal aku kena ganti nanti... macam dua hari lepas..."
Bukan
tak selalu Izah begitu. Qadha' solat disebabkan kebiasaannya
melewat-lewat dan menangguh-nangguhkan solat. Itupun jika rajin dan
teringat. Sudahnya dibiarkan sahaja tanpa menggantinya. Dalam remang
bulan dan cahaya lampu mejanya, Izah tertangkap pada helaan nafas halus.
Cukup teratur. Ia begitu mendamaikan. Lantas Izah menyoroti pula wajah
itu. Ia tambah mendamaikan jiwa.
"Tak
banyak beza antara aku dan dia. Rambutnya ikal panjang, lebih kurang
sama saja dengan aku. Aku lebih cerah. Aku juga lebih kurus dari dia.
Tapi, kenapa dia sangat menawan hati? Renungan matanya bening dan cerah.
Kalau aku pun dah fikir begitu, entah apalah pandangan dan fikiran
lelaki lain. Agak-agaknya dia ada tak pakwe? Tak pernah sekali pun dia
cakap pasal lelaki. Kalau kawannya datang, tak pernah pun bincang pasal
topik tu.. habis-habis tentang kuliah-kuliah agama, usrah, isu-isu
semasa... tarbiyyah...apa tu? Aku??.." Izah bermonolog dalam hati
sendiri.
"..Waktu
tidur, Nasihah lagi cantik. Sangat puas menatap wajahnya yang lembut
dan bersih itu. Aku? Entahlah...Ahhhhh..." Izah membanding beza lagi.
Menjerit kecil dalam relung hati sendiri.
Pandangan
mata Izah tertancap pada tangan Nasihah. Lengan bajunya tersingkap ke
paras siku. Ada garis di situ. Garis di pergelangan tangannya jelas
kelihatan.
"Ah..
jarang sekali untuk melihat lengannya begitu, apatah lagi sering
berkemban macam aku.. Ya Allah, dia sebenarnya sangat putih. Cuma
tangannya je yang sedikit berlainan. Inilah bukti dia menutup auratnya
dengan baik sejak dahulu.. sedang aku? Selesa berlengan pendek ke sana
ke mari.." Izah mula sebak.
Dia
memandang kembali wajah Nasihah. Garis yang sama juga kelihatan di
sekeliling wajahnya yang penuh itu. Ini kerana dia istiqamah dengan
tudung labuhnya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Menurut foto yang
dilihat Izah di atas meja belajar Nasihah.
"..Ya,
dia sebenarnya lebih putih dari aku.. lebih cantik dari aku. Aku
sahaja yang perasan lebih sebelum ini. Tapi aku akui melihat dia
mengenakan telekung solat atau tudung labuhnya, begitu mendamaikan
jiwa.."
Izah
segera teringat. Waktu itu Nasihah tertinggal bakul bajunya di bilik.
Asalnya mungkin dia berkira-kira untuk membasuh baju tersebut. Ada dua
helai semuanya. Jubah dan tudung labuhnya Kebetulan mungkin dia
terdengar suaraku di bilik mandi itu. Ahh.. aku juga sebenarnya yang
mulut luas, bising sahaja berborak dalam bilik air itu. Kebetulan aku
terjumpa Zura, roomateku sesi lepas. Apa lagi, tentunya topik itu
menjadi bualan. Aku tentang Zikri dan Ikhwan, dan Zura kecoh sekali
menceritakan mengenai teman chatting yang baru dikenali, Faiz. Baik dan
romantik katanya.
Selepas
Zura berlalu membawa bersama pinggan-pinggan dan mug yang katanya
tidak berbasuh sejak dua hari lepas, Nasihah segera memanggilku dari
dalam bilik air. Dia meminta tolong supaya mengambil bakul baju
tersebut. Aku tidak kisah. Bukan aku tidak pernah meminta tolong
darinya sebegitu.
Saat
aku menyuakan bakul tersebut, dia membuka pintu bilik airnya. Dia
berkemban, dan kelihatan agak kekok. Buru-buru dia mengambil bakul
tersebut dan mengucapkan terima kasih padaku, lantas menutup kembali
pintu bilik air. Sedang aku seperti tersihir. Dia amat cantik!!
Air mata Izah mula bertakung.
"Aku
ini, nama sahaja Hafizah, Yang Terpelihara.. tapi tidak pun
menggambarkan peribadiku.. entah apa yang terpelihara. Auratku kah?
Pergaulanku kah? Ibadahku kah? Ahh..semuanya tidak!" Air mata Izah
tambah melebat. Dia sedaya upaya menahan esakan tangisnya.
Dia
merasa sudah lelah pada permainan dunia. Yang pasti, dia bukannya
bahagia begitu. Ada juga dia berbincang-bincang dengan teman-teman
se'kepala'nya. Hasil muzakarah, mereka mencapai kata sepakat : "Untuk
apa menjadi hipokrit. Jadilah diri sendiri!" Awalnya dia bersetuju. Lama
kelamaan dia mula goyah dengan doktrin itu. Itupun setelah bermesej
dengan seorang ustazah, Ustazah Sakinah namanya. Ustazah Pendidikan
Islam sekolah menengahnya dahulu.
Kata
ustazah, "Hipokrit yang bagaimana dimaksudkan? Contohnya begini, kalau
kita boleh memilih.. telur, beras, gred Exam umpamanya, mesti kita
mahu yang gred A. Justeru itu juga dalam kita memilih halatuju hidup
kita. Tentunya kita mahu semuanya yang terbaik, gred A. Ibadahnya,
pergaulannya, pemakaiannya, semuanya gred A. Gred A dan sebagainya itu
tentulah sudah ada dalam suluhan agama. Hanya kita selama ini yang
hipokrit, memilih gred B, C dan sebagainya sedangkan hati kita
sebenarnya mahu Gred A. Fitrah kita asalnya cenderung pada Gred A,
kerana agama Islam itu sesuai dengan fitrah. Cuma kita yang menjadi
hipokrit pada diri sendiri, menafikan kemahuan hati sendiri, ego pada
kata hati sendiri!"
Selepas
banyak berbincang dengan Ustazah Sakinah, aku seringkali memikirkan
mengenai perkara ini. Cuma, untuk bertanya pada Nasihah, aku sebenarnya
rasa malu. Dalam erti kata lain, egokah aku?? Ya, aku sebenarnya ego.
Ternyata aku memandang rendah pada pelajar jurusan Pengajian Islam.
Fikirku, aku jurusan Perubatan. Bagai langit dan bumi. Melangkah keluar
sahaja dari universiti aku bisa memilih untuk bekerja di hospital
manapun. Tiada istilah menganggur dalam kamus kehidupan seorang graduan
perubatan. Namun aku lemah, aku kalah dalam menaksir makna sebenar
sebuah kehidupan. Maka, jadilah aku seperti sekarang.
Mataku
sudah menjadi umpama empangan yang pecah. Air mata tak tertahan lagi.
Ternyata selama ini aku mengingkari fitrah, suara hati sendiri. Aku
sebenarnya amat dengki pada mereka. Entahlah, susah untuk kugambarkan.
Mereka manis dan sopan menjaga aurat. Persahabatan mereka bukan retorik,
malah susah sekali untuk mendengar kata-kata kesat keluar dari bibir
mereka. Apatah lagi untuk bergaduh, bermasam muka sesama mereka.
Bergaduh kerana lelaki? Mempermainkan perasaan lelaki? Ah.. untuk
mendengar nama seorang lelaki dari bibir mereka pun amat payah. Yang
pasti, lelaki yang soleh tentulah untuk mereka. Mereka-mereka yang
meletakkan agama dan Allah di tempat teratas, lebih dari segala-galanya.
Sahabat, aku juga ingin sepertimu. Dalam ketenangan menghadapi hidup
ini....
Di
saat itu aku merasa akulah insan yang hina di hadapan Nasihah. Apatah
lagi, aku merasakan akulah manusia yang paling kerdil dan hina di
hadapan Allah. Umurku sudah 22 tahun, seperti juga Nasihah. Namun aku
amat pasti, dia sudah jauh belayar ke lautan cinta Allah, dan mungkin
sudah sampai ke pantai kemanisan iman. Sedang aku masih tersekat-sekat
jauh di atas gunung sana. Muara masih jauh dalam genggamanku, apatah
lagi untuk mula belayar di lautan cinta Ilahi dan tiba ke pantai
kemanisan iman..
Nasihah
bergerak-gerak. Aku segera menyapu air mataku, dan berpaling ke sisi
lain. Nasihah bangun, melipat selimut, dan mengemaskan katilnya. Dia
segera menuju ke bilik air bersama baldi dan tualanya. Tak lama
kemudian, dia kembali ke bilik. Mengambil bakul bajunya. Azan Subuh
berlagu syahdu bagi jiwa-jiwa yang hidup.
"Emm...... tak ke surau ke....." tuturku lambat-lambat.
"Emm..tak boleh solat pulak. Baru je.. Cadang nak basuh baju.. kenapa Zah?" Nasihah terkejut.
"Haa...takde apa-apa.."
Nasihah berlalu, dan aku berbelah bahagi. Cadangnya aku ingin bersamanya ke surau. Aku merasa tak kuat dalam keseorangan.
Tiba-tiba
aku bangun. Kekuatan menerpa ke dalam jiwaku. Lalu mulai saat itu aku
tekad! Saat aku melangkah kaki ke surau, meninggalkan bilikku pada
fajar yang hening itu, aku bertekad untuk meninggalkan jua segala
fitrahku yang songsang. Walau aku harus sendiri, aku ingin merasa
indahnya hidup bertemankan Allah dalam setiap langkahan kakiku, dalam
setiap hela nafasku. Ya! Inilah jalan hidupku yang ku cari-cari.
Sedang dari jauh ada sepasang mata memerhatikan. Ada air hangat mengalir di situ...
"Sesungguhnya Dunia dan Segala Isinya adalah Perhiasan.. dan Sebaik-Baik Perhiasan Dunia ialah Wanita Solehah.."
No comments:
Post a Comment