Bismillahirahmanirahim
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap
manusia yang waras perlu kepada sahabat yang akan bersama-samanya
semasa susah dan senang.Keperluan kepada sahabat adalah fitrah manusia.
Rasulullah S.A.W. sendiri mempunyai sahabat-sahabat yang setia, yang
sentiasa bersama-sama baginda di dalam menjalankan kerja-kerja dakwah
dan tarbiyah, bermula di Mekkah dan seterusnya di Madinah hingga
tertegaknya Daulah Islamiyah di Madinah.
Kita juga
perlu kepada sahabat, melalui sahabatlah kita akan mendapat
menyelesaikan berbagai-bagai masaalah yang kita hadapi.Sahabat adalah
penasihat utama kita, bila penasihat itu baik, maka jadi baiklah kita,
begitu juga apabila penasihat itu tidak baik maka akan berlaku
sebaliknya.
Dari Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah
S.A.W. yang bermaksud :"Seseorang itu atas agama (perjalanan)
sahabatnya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa harus di
pilih menjadi sahabat."
(Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tarmizi dan al-Hakim)
Berdasarkan
hadis di atas Rasulullah S.A.W. menyatakan bahawa apabila kita ingin
mencari sahabat maka hendaklah cari sahabat yang mempunyai asas agama,
iaitu sahabat yang mempunyai asas budi pekerti dan akhlak yang baik,
tidak fasik, tidak terlalu mementingkan hal-hak keduniaan sahaja. Jika
dia seorang ahli agama maka kita juga akan menjadi ahli agama. Jika
sebaliknya kita memilih sahabat yang suka kepada maksiat kita juga akan
terdorong untuk melakukan maksiat.
Dalam hadis yang
lain Nabi S.A.W. juga mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan
orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasehati kita.
“Seseorang
yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah
bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika
engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli
darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan
tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus
terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.”
(Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)
Ibnu
Hajar Al Asqalani mengatakan, “Hadis ini menunjukkan larangan berteman
dengan orang-orang yang dapat merusak agama maupun dunia kita. Dan hadis
ini juga menunjukkan dorongan agar bergaul dengan orang-orang yang
dapat memberikan manfaat dalam agama dan dunia."
(Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqalani)
Itulah
pentingnya bergaul dengan orang-orang yang baik akhlaknya. Oleh kerana
itu, sangat penting sekali mencari persekitaran yang baik dan mencari
sahabat atau teman dekat yang semangat dalam menjalankan agama sehingga
kita pun boleh mendapat aroma kebaikannya. Jika persekitaran atau teman
kita adalah baik, maka ketika kita lemah, ada yang selalu menasehati dan
mengingati kita kepada kebaikan.
Sahabat yang dimuliakan,
Abu
Hurairah r.a. berkata bahawa satu hari, seorang mendatangi Rasulullah
S.A.W. dan berkata : "Rasulullah S.A.W. saya kelaparan" .
Rasulullah
S.A.W. pun menyanyakan persediaan makanankepada para isteri baginda.
Namun mereka memberitahu, bahawa tidak ada makanan sama sekali.
Lalau
baginda S.A.W. berkata kepada para sahabatnya, "Semoga Allah merahmati
siap pun di antara kalian yang mahu menjamunya malam ini."
"Aku yang akan menjamunya ya Rasulullah" kata seorang sahabat Ansar.
Ia pun pulang dan berkata kepada isterinya : "Siapkan makanan kepada tetamu Rasulullah ini."
"Demi Allah, makanan ini hanya cukup untuk anak-anak kita," jawab isterinya.
"Jika
anak kita lapar, tidurkanlah mereka dan padamkan lampu. Biar kita
menahan lapar pada malam ini," pesan sahabat tadi. Isterinya pun
melakukan pesan suaminya itu.
Atas peristiwa itu, Allah
menurunkan ayat surah al-Hasyr ayat 9. maksudnya : "Dan orang-orang
(Ansar) yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman sebelum
(kedatangan) mereka (Muhajirin), dan mereka mencintai orang yang
berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam
hati mereka terhadap apa yang di berikan kepada mereka (Muhajirin), dan
mereka mengutamakan (Muhajirin), atas diri mereka sendiri, meskipun
mereka juga memerlukan. Dan siapa yang dijaga dirinya dari kekikiran
(bakhil), maka mereka itulah orang-orang yang beruntung."
Betapa
Allah S.W.T. memberikan kemuliaan kepada sahabat Ansar yang berhati
mulia, yang telah dididik oleh Rasulullah S.A.W. sanggup mengutamakan
sahabat yang kelaparan dan memerlukan makanan walaupun dia, isteri dan
anak-anaknya kelaparan pada malam tersebut.
Sahabat yang dimuliakan,
Firman
Allah S.W.T. yang bermaksud :"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping
rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu
pagi dan petang, yang mengharapkan keredhan Allah semata-mata dan
janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana
engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi
orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi
pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya, dan
tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran,"(Surah Al-Kahfi ayat
28)
Berdasarkan ayat di atas terdapat tiga pengajaran yang boleh kita ambil :
1.Bersahabatlah dengan orang-orang yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengharap keredhan-Nya.
2.Jangan menjauhi diri dari orang-orang ahli ibadat, semata-mata kerana mengejar kesenangan dunia.
3.Jangan bersahabat dengan orang-orang fasik serta mematuhi dan mengikut perbuatannya.
Sahabat yang dikasihi,
Ulama'
Salaf ada memberi pesanan :"Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya
tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semuga engkau dapat masuk
ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat
memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa
masuk kedalam syurga. Dikatakan juga , apabila Allah S.W.T. mengampunkan
dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada
sahabat-sahabatnya."
Banyak hadis-hadis Nabi S.A.W.
yang menjelaskan ciri-ciri sahabat yang baik. Sabda Nabi S.A.W. yang
bermaksud :"Barangsiapa menutup rahsia saudaranya, nescaya Allah akan
menutup rahsianya di dunia dan akhirat."(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
"Janganlah
kamu bermusuh-musuhan, jangan benci-membenci, jangan dengki-mendengki,
jangan berputus hubungan antara satu sama lain, dan jadilah kamu
sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara."
(Hadis Riwayat Muslim)
Dari
Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Doa
seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat
yang berjauhan diterima oleh Allah S.W.T."
(Hadis Riwayat Muslim)
Termasuk
sahabat yang berjauhan adalah sahabat-sahabat di dalam facebook .
Walaupun kita berjauhan dan perkenalan melalui alam maya tetapi jika
persahabatan kita kerana Allah, saling nasihat menasihati, lengkap
melengkapi dan berkongsi ilmu yang bermanfaat insya Allah kita semua
akan termasuk di dalam hadis ini. Teruskanlah persahabatan ini dan jika
kita ada permasaalahan berbincanglah bersama-sama dan carilah jawapannya
mengikut ajaran Islam nescaya kita akan mendapat keredaan Allah S.W.T.
di dunia dan akhirat. Doa-doa kalian kepada sahabat-sahabat kalian yang
lain mustajab disisi Allah S.W.T.
Kita bersahabat
dengan sahabat yang baik adalah semata-mata kerana Allah S.W.T. kerana
sahabat kita bukan setakat di dunia sahaja tetapi dia akan menjadi
sahabat kita di hari akhirat.Di dalam Al-Quran Allah S.W.T. ada
menceritakan kisah ahli-ahli syurga bertemu dan berbincang sesama
mereka, mereka adalah sahabat-sahabat yang baik dan sentiasa taat pada
Allah semasa di dunia.
Sahabat,
Al-Qamah
berpesan kepada puteranya :"Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan
perlu bersahabat, maka pilihlah sifatnya yang berikut:
1.Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
2.Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, ia akan membalas baik persahabatanmu.
3.Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.
4.Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.
5.Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.
6.Jika ia melihat yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
7.Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
8.Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
9.Jika datang suatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu)
10.Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.
11.Jika engkau merancang sesuatu, nescaya ia akan membantumu.
12.Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan."
Dari
itu marilah kita bina persahabatan kerana Allah, kita baiki akhlak kita
menjadi akhlak yang mulia dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah
seperti yang dinyatakan ciri-cirinya seperti diatas. Semoga kita semua
berbahagia di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment