ahlan wa sahlan

Buat baik di balas baik, buat jahat di balas?

“Mereka tidak layak. Tiada kebaikan yang pernah saya dapat daripada mereka,”

“Apakah kita hanya perlu berbuat baik kepada orang yang berbuat baik kepada kita?”

“Logiknya begitulah. Buat baik kepada yang baik. Buat baik dibalas baik. Ini biasa. Hati kita yang menghukumkan begitu.”
“Soal hati sangat relatif. Hati manusia berbeza-beza. Sedangkan kebaikan dan kebenaran adalah mutlak. Dan inilah asas agama. Kita perlu merujuk kepada agama. Maksudnya kepada Tuhan, maka barulah nanti rasa hati kita tepat dengan kebenaran dan kebaikan yang sebenar.”
Den tenang. Berfikir, mungkin.

“Pernah dengar bagaimana kisah seorang pelacur diampuni Allah kerana memberi minum anjing yang sangat kehausan?”
Den mengangguk.

“Masih ingat bagaimana Rasulullah SAW menziarahi wanita Yahudi yang sering meletakkan duri dan najis di jalan yang baginda sering lalui?”
Den mengangguk.

“Pernah baca sejarah ketaatan dan kebaikan Siti Asiah sebagai isteri hatta kepada suaminya Fir’aun Laknatullah? “
Den mengangguk.
“Apa maksud awak dengan kisah-kisah itu?”

“Kisah itu… kisah saya dan kisah awak! Dalam hidup, Allah menyuruh kita berbuat baik. Dan suruhan berbuat baik itu Allah tidak bataskan hanya kepada orang yang berbuat baik kepada kita. Apalah kebaikan yang pernah diberikan oleh anjing kehausan itu kepada perempuan lacur tersebut? Apalah kebaikan wanita Yahudi yang sering menyakiti Rasulullah ? Dan Firaun suami Siti Asiah itu hakikatnya adalah sejahat-jahat manusia. Namun… kejahatan mereka itu dibalas oleh kebaikan… “

“Payah, hati kita tersiksa. Kita telah dizalimi, macam mana nak balas baik lagi?”
“Itulah salahnya kita… hanya asyik memikirkan kita. Buat baikpun kerana kita, bukan kerana Allah.”

“Apa maksud awak?”

“Kalau kita buat baik kepada orang yang buat baik kepada kita, itu ertinya kita buat baik kerana diri kita… bukan kerana Allah.”

“Tak faham saya…”

“Apabila kebaikan telah kita rasai, maka timbul rasa nak membalasnya. Baik dibalas baik. Itu kerana diri kitalah. Tapi kalau kerana Allah… lain.”

“Lain macam mana?”

“Kita tetap buat baik, walaupun tidak dibalas baik. Sekalipun kepada orang yang tak buat baik kepada kita…”

“Susah tu… hati kita menolak.”
“Hati kita lagi? Kan masih terikat dengan ‘kita’. Ketepikan diri kita. Buatlah baik atas dasar itu perintah Allah. Walaupun kebaikan kita tidak dibalas. Walaupun orang yang kita buat baik itu bukan orang yang baik. Itulah ikhlas. Bukti kita tak harapkan apa-apa balasan kecuali keredhaan Allah.”

“Jadi, awak rasa mereka layak menerima kebaikan dari saya?”

“Dia layak. Dan awak wajib memberikannya, “

“Walaupun dia menyakitkan hati kita?”

“Jangan terikat kepada kebaikan atau kejahatannya lagi. Tetapi ingatlah kepada Allah. Allah wajibkan kita berbuat baik…”

“Maksud awak, buat baik kerana Allah?”

“Ya begitulah.”

“Aneh sungguh, orang jahat boleh jadi saluran kita kepada Allah.”

“Ya, bila kita melayani orang jahat dan kejahatannya dengan satu kebaikan.”
“Apalah hikmah agaknya ya… bila Tuhan perintahkan begitu?”

“Tentu banyak. Antaranya, kebaikan akan menyebabkan orang jahat menjadi insaf dan sedar.”

“Macam mana tu?”

“Kembali kepada kisah-kisah tadi. Bukankah perempuan Yahudi yang jahat itu akhirnya tunduk dengan kebaikan Rasulullah saw dan akhirnya mengucap dua kalimah syahadah? Itu bukti, bagaimana orang jahat boleh jadi baik apabila dihadapi dengan kebaikan.”
“Jadi, menurut awak, tidak mustahil mereka juga akan berubah jika kami berikan kasih-sayang kepada mereka.”

“Mereka bukan akan berubah. Sebenarnya mereka dah berubah. Dan sebaik sahaja awak berbuat baik awak pun akan berubah.”
“Berubah macam mana?”

“Hati awak akan menjadi tenang dan lapang. Kemarahan, dendam dan kekecewaan selama ini akan mula terpadam. Memaafkan, akan melegakan bukan sahaja pada mereka yang menerimanya malah awak yang memberinya juga. Percayalah. Itulah yang akan memberikan erti kemanisan iman.”

“Tak sangka, bahawa ada diantara jalan mendekatkan diri kepada Allah kekadang ada pada orang yang derhakakan-Nya. Hakikatnya kejahatan juga boleh dijadikan kebaikan bila…”

“Kejahatan dibalas dengan kebaikan. Itulah maksud sabda Rasululah saw, buatlah baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kamu! Beraiklah dengan mereka. Berikan kebaikan dengan tulus dan ikhlas. Berikan mereka peluang membetulkan kesalahan lampau!”
 
p/s : yang berhak membalas kejahatan itu hanyalah DIA…

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...