ahlan wa sahlan

BERHATI-HATI MENJAGA HATI....


Hati orang mukmin ialah hati yang sihat dan ceria. Manakala hati orang yanag fasik (berdosa) ialah hati yang sakita dan resah. Dosa itu akan mengundang gelisah dalam jiwa.



Rasulullah s.a.w bersabda:"Dosa itu sesuatu yang mendatangkan rasa resah dalam hatimu."



Dosa ialah "virus" yang menyebabkan hati sakit. Hati yang sakit mudah dikuasai oleh hawa nafsu yang ditunggangi oleh syaitan. Apabila "raja" (hati) dalam kerajaan diri sakit, ia akan turun takhta, dan naiklah "penjahat" (nafsu) sebagai penguasa baru yang akan sentiasa mengajak diri kepada kejahatan.



Bagaimana mengesan penyakit hati?



Bagaimana merawat hati yang sakit sebelum menjadi parah? mula-mula kita perlu menyedari bahawa hati itu bolak balik sifatnya. Rasulullah s.a.w menjelaskan hati itu bolak-balik sifatnya bagaikan kuah yang sedang mendidih atau menggelegak. Simpang-siur dan turun naiknya begitu unik. Kekadang ia sihat dan baik, bagaikan fitrah asalnya. Namun, sesekali bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.



Bagiamana caranya untuk mengesan sama ada hati kita sihat atau sakit?sekali lagi, Syeikh Ibn Ata'illah memberikan panduan menerusi kata-katanya: "sebahagian daripada tanda matinya hati, iaitu jika tidak merasa sedih kerana tertinggalnya satu amalan kebaikan, juga tidak menyesal jika berbuat suatu perlanggaran dosa."



Hati yang sakit menolak segala "makanan rohani" yang enak dan lazat seperti solat, zikrullah, membaca al-Quran, doa dan lain-lain. Apabila solat tidak lazat, bukan ertinya solat itu yang tidak lazat tetapi kerana hati kita sakit. Apabila membaca al-Quran tidak manis, bukan bererti al-Quran itu pahit tetapi hati kita yang sakit.



Imam al-Ghazali memberi panduan;



"Carilah hatimu pada tiga tempat. Cari hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.'



Mari kita perincikan tiga kaedah ini:



1) membaca al-Quran



lazimilah mencapai al-Quran dan membacanya. Bacalah ayat-ayat Allah itu, kerana ia pasti akan menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Itulah penawar jiwa, ubat kepada hati. Firman Allah yang bermaksud:"Diturunkan kepadamu al-Quran sebagai petunjuk dan rahmat serta penawar..."(Surah al-Isra':82)



Jiwa yang tidak membaca al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertebaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa al-Quran segalanya tidak bermakna.



Orang yang berjaya tetapi meminggirkan al-Quran dalam hidup umpama mendaki puncak hanya untuk meninggikan lagi tempat jatuh. Ibarat memburu fatamorgana dunia, hanya untuk ditipu olehnya.



Firman Allah s.w.t:"Tiadalah kehidupan dunia melainkan mata benda yang menipu."(Surah ali Imran:185)



2) Mendirikan solat



Berkata seorang ulama bernama Hakim:"Jika kamu ingin Allah bercakap denganmu, bacalah al-Quran kerana al-Quran adalah ayat-ayat Allah yang ditujukan kepadamu. Tetapi jika kamu pula ingin 'bercakap' dengan Allah, maka dirikanlah solat kerana solat hakikatnya ialah doa, pengaduan, pujian dan rintihan seorang hamba kepada Allah."



Hati yang lemah akan mendapat semula kekuatannya apabila bersandar kepada satu kuasa Yang Maha Perkasa. Sebagai perbandinga, pakar-pakar psikologi sering menyarankan supaya kita meluahkan masalah yang membebankan hati kepada orang yang kita sayangi, percayai atau hormati. Langkah itu akan meredakan beban rasa yang mencengkam jiwa.



Ya, sekiranya kita meluahkan rasa hati kepada manusia itu pun sudah melegakan. ASpa lagi, jika kita solat, ini bererti kita meluahkan segala rintihan, permasalahan, kesusahan kepada zat yang mampu menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh hamba-Nya.



3) Mengingati mati..



Hati yang mengingati mati akan hidup, yang melupakan mati akan mati. Hiduplah dengan semangat orang yang bersedia untuk mati.



Sabda Baginda s.a.w:"Orang yang paling cerdik iaitu mereka yang banyak mengingati mati." (riwayat al-Baihaqi).



jadilah insan bijaksana sepertimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w, yakni mereka yang sentioasa mengingati matui dan bersedia untuk menghadapinya. Impak daripada mengingati mati, para sahabat Rasulullah s.a.w hidup bahagia , tenang dan aman di samping dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan.



Ingat mati ialah pembasuh hati yang gelisah dan resah. Cukuplah mati sebagai peringatan dan pengajaran. Ingat mati akan memadamkan rasa nikmat melakukan maksiat. Ingat mati akan memadamkan rasa enggan melaksanakan taat. Ingat mati itu sesungguhnya akan memberi satu tenaga yang begitu ampuh untuk menjalani kehidupan dengan jiwa yang kukuh. Persediaan menghadapi mati menyebabkan kita lebih produktif dan aktif dalam hidup. Sebaliknya, melupakan mati akan mematikan hati.



Sebagai penutup kata, jika mati pun belum dapat mengingatkan kita, maka berdoalah kepada Allah agar dikurniakan 'hati' yang lain, kerana hakikatnya kita sudah tidak mempunyai hati lagi. BERHATI-HATILAH MENJAGA HATI, JANGAN SAMPAI KITA KEHILANGANNYA.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...