ahlan wa sahlan

23 Petua kejayaan Dunia & Akhirat

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sebagai seorang mukmin kita perlu meningkatkan dan memperbaiki amalan-amalan kita setiap hari . Jika kita menjaga semua amalan-amalan dengan sempurna kita akan menjadi mukmin yang sempurna darisegi akhlak dan keperibadian. Petua-petua ini adalah demi kejayaan kalian di dunia dan akhirat.

Terdapat 23 amalan harian yang perlu kalian lakukan :

1. Mewiridkan (membaca) al-Quran setiap hari dan bersungguh-sungguh melakukannya.

2. Membaca al-Quran dengan baik (sebutan dan tajwid), sanggup pula mendengar dan merenungi maksud pengertiannya.

3. Mengambil berat tentang kebersihan dalam semua perkara. Sentiasa menjaga kesihatan dengan membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa.

4. Bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.

5. Menunaikan dengan tepat segala kata-kata dan janji dan jangan sekali-kali kalian memungkirinya walaupun dalam keadaan paling sulit sekalipun.

6. Bersifat berani dan tahan memikul bebanan (tanggungjawab).

7. Bersikap serius dengan cara bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara.

8. Bersifat pemalu, halus perasaan dan mudah terasa (peka) kepada sesuatu yang baik ataupun yang buruk.

9. Berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum dalam segala perkara dan jangan kalian melupakan kebaikan orang lain kerana marah dan janganlah kerana sayang.

10. Bersifat belas-kasihan, pemurah dan bertolak-ansur.

11. Boleh membaca dan menulis dengan baik dan sentiasa banyak mengulang-kaji subjek-subjek yang berkaitan. Seboleh-bolehnya hendaklah memiliki (perpustakaan) sendiri walaupun kecil.

12. Berhati-hati supaya dapat menunaikan tugas dan tanggungjawab anda dengan penuh amanah tentang kelicinan dan kehalusan pekerjaannya.

13. Menuntut hak-hak kalian dengan cara yang baik dan menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurna.

14. Menyumbangkan harta kalian untuk dakwah Islam.

15. Berusaha sedaya upaya menghidupkan adat-adat yang bercorak Islam sebaliknya mematikan adat-adat asing dalam semua lapangan hidup.

16. Sentiasa merasai diri berada di bawah pengawasan Allah SWT, mengingati hari akhirat dan bersedia untuknya, dan hendaklah mempertingkatkan perjalanan hidup ke peringkat yang lebih tinggi dalam mendapatkan keredaan Allah dengan keazaman yang kuat.

17. Melakukan dengan baik apabila bersuci (iaitu berwuduk dengan cara menyempurnakan segala syarat dan rukunnya) dan hendaklah kalian sentiasa berada di dalam keadaan berwuduk.

18. Mengerjakan sembahyang dengan cara yang betul (iaitu menyempurnakan syarat dan rukun-rukunnya) dan menunaikannya pada waktu-waktunya dengan mengutamakan sembahyang berjemaah dan sembahyang di masjid seboleh yang mungkin.

19. Sentiasa berada di dalam keadaan niat berjuang kerana Allah

20. Sentiasa memperbaharui taubat dan memohon keampunan, menjauhkan diri dari dosa-dosa besar.

21. Janganlah membazirkan masa walaupun sedikit kepada perkara-perkara yang tidak memberi faedah dan hendaklah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang syubhah dan samar-samar hukumnya.

22. Bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu anda sehingga mampu mengendalikannya. Kalian mestilah menjaga penglihatan dan kuasailah keinginan naluri dengan cara mengarahkannya kepada perkara-perkara yang halal

23. Melepaskan diri daripada berhubung dengan sebarang badan atau kumpulan yang tidak memberi faedah kepada fikrah perjuangan Islam terutama jika kalian disuruh berbuat demikian dengan kumpulan seperti itu.

Rujukan : Kitab Apa Ertinya Saya Memeluk Islam - Fathi Yakan. (Bahagian Kedua)

Sahabat yang dimuliakan,

Bersegeralah kita untuk melakukan amal-amal soleh kerana masa tidak akan menunggu kita, masa adalah kehidupan. Jika kiat membazirkan masa bermakna kita telah membazirkan kehidupan kita sedangkan masa hidup kita hanya singkat sahaja.

Rasulullah S.A.W. pernah menegaskan dalam salah satu hadisnya yang bermaksud: "Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia pada waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah. Ia seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit." (Hadis Sahih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripadaAbu Hurairah)

Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah S.A.W. menerusi hadis di atas ialah terdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara. Sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.

Justeru itu kita perlu sentiasa istiqamah dengan amal-amal soleh, mengerjakan amal ibadah dengan ikhlas dan sentiasa konsisten dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiah untuk mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...