ahlan wa sahlan

CARILAH HIKMAH ITU!

Setiap hari, kita sentiasa menerobosi pelbagai keadaan hidup di dunia yang semakin fana’ ini. Setiap detik, pasti kita akan bertemu dengan perkara yang kadangkala kita tidak menjangka bahawa perkara itu akan dialami oleh diri kita sendiri seperti tiba-tiba jatuh sakit, kemalangan, jatuh tangga, dan banyak lagi. Na’uzubillah.
Setiap apa yang menimpa ke atas kita, pasti terselit hikmah di sebaliknya. Percayalah!
“Dan apa jua musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (daripada  perbuatan-perbuatanmu yang salah dan berdosa), dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Surah al-Syura : 30).
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah al-‘imran : 139)

Setiap apa yang berlaku ada buruk dan baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat sisi baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun di dalam hati sentiasa mengharap kebaikan di sebaliknya.
“Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu; dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.” (Surah al-Thalaaq : 5)
MARAH ADA HIKMAH
Tak ada seorang pun yang apabila ditanya sama ada dia suka dimarahi atau tak, pastilah jawapannya tak. Saya sendiri pun tak suka apabila dimarahi (huhu). Tapi, marah seorang guru berbeza dengan marah seorang ayah. Marah seorang kawan berbeza dengan marah seorang adik. Saya lebih suka dimarahi oleh guru daripada dimarahi oleh ayah (hehe). Bila guru marah, dia tegur kita, dia cabar kita, kita bersemangat tapi bila ayah marah, kita sedih, kita menangis tanpa sedar. Marah bukan benci, tapi tanda sayang. Tapi, bukanlah marah yang tidak bertempat. Ucaplah terima kasih melalui hati kerana kita dimarahi. Jika seseorang tidak menegur kita, itu maknanya, orang dah tak sayang dekat kita. Sampai bila kita nak betul kalau tak pernah dimarahi dan tak suka ditegur??

La Taghdob (jangan marah)
Carilah hikmah di sebalik kita kena marah. Kenapa guru sering marah kita? Kenapa ibu bapa sering tegur kita? Kita anggap itu suatu yang negatif dan terus memprotes mereka sebab itulah ada berlaku kes sampai sanggup bunuh ibu bapa sendiri.
Andai seorang guru memarahi anak muridnya, guru itu ingin memperbaiki kelemahan anak didiknya itu. Guru ingin anak didiknya sedar. Guru memberi kata semangat dan motivasi melalui luahan amarahnya. Guru memarakkan lagi nyalaan api untuk menuntut ilmu dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Bukan belajar main-main. Belajar bukan senang, oleh itu, kita kena bersungguh-sungguh untuk menggarap buah kejayaan di dunia dan akhirat. Andai seorang ibu atau ayah memarahi anaknya pula, itu tandanya mereka prihatin dengan anak. Mereka tidak terus-terusan membiarkan anaknya leka dan lalai dalam mengharungi kehidupan. Andai anak berbuat salah, mereka tegur. Andai anak lalai, mereka mengingatkan. Marah mereka kerana sayangkan anak-anak. Bukan kerana benci!
CARI HIKMAH SETIAP HARI
Setiap hari, peruntukkanlah sedikit masa untuk menulis dan merenung hikmah yang terjadi pada hari ini, esok dan seterusnya. Jangan biarkan hari-hari yang dilalui kita pergi berlalu tanpa sebarang hikmah. Itu yang ustaz saya beritahu. Beliau sempat memberi secebis tazkirah ketika sedang mengajar.
Saya juga sudah mula mencari, menulis dan merenung hikmah yang tersembunyi pada setiap hari yang saya lalui. Seronok! Jomlah kita ramai-ramai buat. Pada yang dah lama buat, bagus, istiqamahlah! Jadikannya satu agenda wajib dalam diari hidup kita.Seelok-eloknya, carilah hikmah itu ketika kita ditimpa sesuatu dan sebelum kita lelapkan mata untuk tidur.
Contohnya, ketika kita sedang dimarahi oleh guru dek kerana kesilapan kita sendiri. Kita tak siapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru. Cuba kita hayati kata-kata guru itu. Bebelannya tak pernah sia-sia malah amat berharga untuk kita memperbaiki diri kita dalam pelajaran.  Tulislah di dalam buku hikmah kita apa yang kita dapat daripada nasihatnya. Hikmahnya :
-         Buat kerja sekolah bersungguh-sungguh sampai siap, barulah tak kena marah.
-         Jangan malas buat kerja sekolah. Malas tu sifat mazmumah!
-         Dengar dan amalkan nasihat cikgu, barulah ada berkat.

Allah juga memberi hikmah pada hamba yang dikehendaki-Nya.
“Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Qur’an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugrahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal lah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).” (Surah al-Baqarah : 269)

Hikmahnya : Kadang-kadang, muhasabah 5 minit itu boleh menyelamatkan kita daripada dibaham api Neraka.


sumber: http://wana93.wordpress.com/2011/02/16/carilah-hikmah-itu/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...